MEMPERKASAKAN TRANSISI MURID BERKEPERLUAN KHAS (MBK) KE ALAM KERJAYA



Tanggungjawab seorang Guru Pendidikan Khas adalah membekalkan ilmu dan kemahiran semampu yang boleh untuk diserap oleh murid berkeperluan khas (MBK). Ibu bapa pula mengharapkan agar hasil pendidikan formal yang diterima akan membolehkan anak-anak istimewa mereka layak ditawarkan pekerjaan atau mampu bekerja sendiri, dan sekurang-kurangnya dapat menyara diri sendiri bagi meneruskan kelangsungan hidup walaupun tanpa mereka berada di sisi. Manakala peranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah sebagai penyedia utama peluang pendidikan yang berkualiti untuk semua MBK mempelajari dan menguasai segala ilmu serta kemahiran yang diperlukan mereka.
Untuk itu pelbagai inisiatif, program dan institusi kemahiran telah diperkenal atau diwujudkan oleh KPM. Antaranya merumuskan Kurikulum Pendidikan Khas yang komprehensif, mengadakan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV), mewujudkan program Buying Seat, merangka Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), serta Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA). Program-program ini adalah antara alternatif kepada aliran akademik yang biasanya sukar dikuasai oleh kebanyakan MBK yang lazimnya lebih cenderung ke arah bidang kemahiran.
Pendidikan vokasional merupakan pendidikan amali yang menitikberatkan kemahiran dan memberi penekanan dari aspek disiplin serta membentuk sikap positif MBK bagi menguasai kemahiran yang diperlukan untuk melakukan sesuatu perkerjaan.
JUSTERU, PENDIDIKAN KHAS MERUPAKAN PLATFORM TERBAIK BAGI MBK MEMPERKEMBANGKAN POTENSI, BAKAT DAN MINAT SERTA MENIMBA PENGALAMAN SEBELUM MELANGKAH KELUAR KE ALAM KEHIDUPAN SEBENAR.

Kurikulum Pendidikan Khas: Bidang Pengurusan Kehidupan (Kemahiran Hidup)



Pendedahan awal MBK kepada kemahiran secara formal adalah melalui Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran yang diajar di sekolah. Terdapat pelbagai kemahiran yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam Komponen Kemahiran Hidup. Antaranya ialah aktiviti memasak, menjahit, kraftangan, berkebun, mendobi, dan mencuci kereta.
Melalui komponen ini, MBK menunjukkan minat dan kesungguhan untuk belajar sehingga tercapai hasil yang diusahakan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah dalam komponen ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian MBK dan membolehkan mereka untuk berdikari serta membantu ibu bapa masing-masing. Pengalaman yang diperolehi dalam bidang kemahiran yang diikuti juga dapat menyokong mereka membina kerjaya.
MBK yang berpotensi dan berbakat dalam bidang kemahiran di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) disarankan memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV). Pendidikan vokasional di sekolah berkenaan lebih terarah, berfokus dan bersesuaian dengan keupayaan serta kemampuan MBK dalam menguasai sesuatu kemahiran. Selain itu, terdapat juga MBK dalam PPKI yang mengikuti Mata Pelajaran Vokasional (MPV) sebagai subjek elektif dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV)

KPM telah mewujudkan SMPKV bagi membolehkan MBK mendapatkan kemahiran yang diperlukan hingga mereka mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan atau pun hidup berdikari. Empat buah SMPKV telah disediakan setakat ini iaitu SMPKV Shah Alam, Indahpura, Kuantan dan Merbok.
Untuk kemasukan bagi tahun 2018, ujian saringan telah dijalankan di empat buah sekolah tersebut. Di SMPKV Shah Alam sahaja seramai 954 orang MBK telah disenaraikan untuk menghadiri ujian saringan ke Tingkatan 4 bagi ambilan 2018 yang berlangsung pada Oktober 2017. Semua calon dinilai dari segi ujian bertulis, ujian lisan dan dokumen semasa.
Tempat yang disediakan sangat terhad. MBK yang terpilih dan menerima tawaran akan mengikuti latihan vokasional di empat SMPKV itu menggunakan Modul Standard Kebangsaan Kemahiran Pekerjaan (NOSS) yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Penawaran kursus bagi tahun 2018 adalah seperti berikut:
  1. SMPKV Shah Alam menawarkan kursus Pembuatan Pakaian Wanita; Operasi Pengemasan; Operasi Pembuatan Perabot; Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa; Peralatan Penyamanan Udara HAVC – Satu Fasa (Pemasangan, Servis, Troubleshooting & Pembaikpulihan); Desktop Publishing; Operasi Pengeluaran Batik; Penyediaan dan Pembuatan Makanan; dan Penyelenggaraan dan Servis Motosikal.
  2. SMKV Indahpura menawarkan kursus Refleksologi Kaki, Tangan Dan Telinga; Perkhidmatan Estetik; Penyediaan Dan Pembuatan Makanan; Operasi Pengemasan; Hairdressing; dan juga Desktop Publishing.
  3. SMPKV Kuantan menawarkan kursus Penyediaan dan Pembuatan Makanan; Pembuatan Roti; Pengeluaran Batik; Atendan Landskap; Pekerja Am Tanaman; Pekerja Ladang Poltri; Pekerja Ladang Ruminan; Operator Akuakultur; Pembuatan Pastri; dan Operasi Pengeluaraan Makanan.
  4. SMPKV Merbok menawarkan kursus Operasi Perkhidmatan Dobi; Operasi Pengemasan; Koordinator Landskap; Operasi Servis Makanan dan Minuman; Pembuatan Pakaian Wanita; Pembuatan Pakaian Lelaki; dan Peralatan Penyamanan Udara HAVC – Satu Fasa (Pemasangan, Servis, Troubleshooting & Pembaikpulihan).
Bagi MBK masalah pendengaran, mereka juga boleh mengikuti pendidikan dalam aliran kemahiran menerusi Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang. Kursus yang ditawarkan ialah Membuat Pakaian, Pendawaian Elektrik, Pembuatan Perabot dan mata pelajaran Vokasional (Pembinaan Domestik).

Program “Buying Seat”

Bagi menampung permintaan SMKPV yang terlalu tinggi, KPM telah mewujudkan program “Buying Seats” iaitu program yang menempatkan MBK di enam buah institut latihan kemahiran swasta yang terpilih. Institut-institut yang terlibat ialah Imperial Academy, International College of Yayasan Melaka, Suria College Of Hospitality Malaysia, Azmida Training Centre, Akademi YNS Sdn. Bhd. dan Kemahiran YPJ Sdn. Bhd.
Program yang bermula pada tahun 2013 ini dibiayai oleh kerajaan dan menawarkan latihan kepada MBK berumur 16 hingga 18 tahun. Mereka yang terpilih akan mengikuti sesi pengajian selama dua tahun. Mereka akan mengikuti kurikulum serta modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terdiri daripada Kurikulum Kebangsaan, Modul Kemahiran, dan On Job Training (OJT). MBK yang berjaya menamatkan pengajian akan mendapat sijil kelayakan yang diiktiraf dalam bidang kemahiran yang berkaitan.
Berbeza dari di sekolah, melalui inisiatif ini MBK akan dilatih dalam persekitaran kolej. Ilmu pengetahuan, latihan kemahiran pengurusan diri dan on the job training yang disediakan oleh pihak kolej dapat membantu mempersiapkan mereka untuk menghadapi saingan di alam pekerjaan sebenar atau menjadi usahawan kelak.

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)

KSSM Pendidikan Khas dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun lepas bagi memastikan pembelajaran aliran kemahiran diperluas sejajar dengan agenda pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Kurikulum ini bertujuan memperkemaskan lagi pendidikan khas bagi menjamin kebolehpasaran kerjaya MBK. Ia menyediakan ruang serta peluang bagi MBK mempelajari dan menguasai pengetahuan serta kemahiran vokasional.
Melalui kurikulum ini, MBK akan mengikuti kumpulan mata pelajaran teras bagi mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran asas mereka untuk mengikuti pembelajaran mata pelajaran kemahiran vokasional. Mata pelajaran kemahiran yang akan diikuti terdiri daripada asas pengetahuan dan kemahiran teknikal, serta amalan budaya kerja sistematik dan selamat. Ini bagi menyediakan mereka untuk menguasai kemahiran vokasional spesifik seperti penyediaan dan pembuatan makanan, pembuatan roti, pembuatan pastri, servis makanan dan minuman, pembuatan pakaian wanita, tanaman, akuakultur, multimedia visual, refleksologi kaki, tangan dan telinga dan pembuatan perabot yang lebih tinggi tahap kemahirannya.
Sikap keusahawanan juga diterapkan kepada MBK agar menjadi amalan mereka. Manakala untuk meningkatkan keterampilan MBK ke arah kehidupan berkerjaya, elemen transisi ke alam kerjaya turut dimasukkan dalam semua mata pelajaran.

Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA)


PIMA adalah lanjutan daripada Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diperkenalkan oleh KPM melalui pelaksanaan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) pada tahun 2012. Program ini dilaksanakan secara kolaboratif antara KPM dengan pihak industri atau institusi latihan bagi melengkapkan murid dengan kemahiran vokasional yang selaras dengan permintaan atau keperluan industri. Mulai tahun 2018, PIMA akan diperluaskan ke sekolah menengah harian dipilih.
Selain daripada kriteria pemilihan murid aliran perdana berdasarkan risiko kadar keciciran yang tinggi dan lokasi sekolah yang berhampiran dengan industri, program ini juga akan menumpukan kepada MBK yang berada dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Melalui program ini, dalam seminggu, MBK akan berada di sekolah selama dua hari untuk mempelajari ilmu akademik dan tiga hari di sektor industri yang mereka sertai bagi menjalani latihan industri.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh telah dipilih sebagai sekolah rintis bagi program ini. Terdapat seramai lima orang MBK dari sekolah tersebut kini sedang mengikuti program tersebut iaitu seorang mengikuti latihan jahitan di Emzie Textile Trading, dua orang mengikuti latihan bakeri di Noras Delight dan dua orang lagi mengikuti latihan servis dan penyelenggaraan motosikal di Kolej Antarabangsa INPENS.
Program sebegini dapat meningkatkan minat belajar MBK dengan efektif kerana mereka dapat melaluipengalaman bekerja dalam industri dan didedahkan dengan dunia pekerjaan sebenar selain berpeluang diserap sebagai pekerja tetap di tempat mereka menjalani latihan industri. Kurikulum dan latihan yang disediakan dalam PIMA mampu melahirkan modal insan yang berkemahiran, mempunyai keyakinan diri dan bersedia untuk menyertai pasaran kerja.

Memperkasakan Latihan Vokasional

Pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional perlu diperkasa dan diperluaskan dari semasa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Justeru itu, input-input daripada semua pihak berkaitan seperti profesional dalam bidang teknikal dan vokasional, ahli akademik, para pendidik, pihak industri dan latihan, entiti perniagaan, ibu bapa, murid dan sebagainya perlu dikumpulkan.
Berikutan usaha menyediakan keperluan pendidikan vokasional memerlukan kos yang tinggi, konsep pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu diperluas. Peruntukan yang terhad daripada pihak kerajaan memerlukan syarikat-syarikat besar swasta memainkan peranan menawarkan bantuan melalui khidmat sosial dengan lebih aktif bagi memastikan kecemerlangan pendidikan negara berterusan, terutama dalam menyediakan peluang latihan vokasional untuk murid. Sumbangan ini amat bermakna kerana ia dapat membantu memperkasa pendidikan vokasional dengan signifikan selaras dengan usaha kerajaan melahirkan modal insan berkemahiran serta tenaga kerja berkualiti untuk keperluan industri sendiri.
Penjanaan idea yang kreatif dan inovatif daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) telah digunakan sepenuhnya bagi menyediakan pelbagai kemudahan dan peluang menerusi perkhidmatan bersepadu yang disediakan oleh kerajaan. Melalui NBOS, lebih 80 entiti atau organisasi terdiri daripada kementerian serta agensi-agensi di bawahnya boleh berkolaborasi dalam merangka dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang realistik, praktikal, serta bersepadu. Strategi ini dapat dimanfaatkan juga untuk memperkasakan latihan teknikal dan pendidikan vokasional kerana ia terbukti mampu meminimakan kos, membolehkan perkongsian kepakaran dan sumber, kelestarian, hasil berimpak tinggi dan pantas pelaksanaannya.
Selain itu, Program Perkhidmatan Job Coach (PPJC) juga sangat penting kepada MBK. Ini kerana ia menggalakkan wujudnya pekerjaan yang berkekalan kepada OKU di pasarankerja terbuka.Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Job Coach berperanan menjadi penghubungantara OKU dan majikan dengan menyediakan sokongan untuk kedua-dua belah pihak seperti berikut:
  1. Penilaian OKU: Membuat penilaian dan memahami keadaan OKU
  2. Penilaian tempat kerja: Membuat penilaian persekitaran tempat kerja
  3. Job matching: Mengubah keadaan kerja dan menyusun semula tugas-tugas yang bersesuaian dengan OKU atas kebenaran majikan
  4. Sokongan intensif: Menyediakan sokongan untuk OKU dan majikan di tempat kerja
  5. Natural support: Mewujudkan sokongan rakan sekerja OKU untuk mengurangkan sokongan Job Coach secara beransur-ansur
  6. Follow up: Sokongan berkala untuk mengekalkan OKU dalam pekerjaan.
PPJC menyediakan elaun sebanyak RM15.00 sejam kepada Job Coach yang memberi sokongan pekerjaan kepada OKU. Jumlah maksima yang boleh dituntut Job Coach adalah sebanyak RM900.00 bagi setiap OKU yang disokong.

Penutup

Globalisasi serta perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (TMK) yang pesat menjadikan dunia seolah tanpa sempadan, semakin sempit dan bergerak laju. Kegagalan mengikut rentak dan kemahuan terkini akan menyebabkan kita tertinggal dan tenggelam dibawa arus dunia. Begitu juga dengan MBK atau pun OKU. Mereka tidak terkecuali sangat memerlukan sokongan padu dari semua pihak termasuk terutamanya ibu bapa mereka sendiri bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Marilah bersama berusaha ciptakan ruang dan peluang supaya mereka tidak terus menerus bergantung harap kepada ibu bapa, keluarga atau menunggu belas ihsan masyarakat sekeliling untuk memenuhi keperluan hidup. Pendidikan berasaskan kemahiran teknikal atau vokasional merupakan antara alternatif terbaik kepada MBK untuk terus belajar mengikut tahap kemampuan dan minat mereka, seterusnya menjadikan mereka tenaga mahir yang merupakan aset kepada negara.
Kredit : Pendidik.com